|
Dari Meja Presiden
|
Dr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee
Presiden PAUSM 2021-2023
|
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat para Alumni USM sekalian. Selaku Presiden Persatuan Alumni USM (PAUSM) yang terbaharu saya mengucapkan salam perkenalan buat semua dan berharap PAUSM akan menjadi wadah ukhwah dan persahabatan yang positif. Bercakap tentang alma mater kita iaitu USM pasti terkandung pelbagai kenangan pahit manis yang mencorakkan kehidupan kita.
Saya berharap melalui PAUSM kita dapat menjadikan kenangan indah di USM sebagai motivasi kita untuk meneruskan hari-hari depan kita dengan lebih bermakna melalui kewujudan jaringan keluarga besar Alumni USM. Sesungguhnya dalam realiti kehidupan dan kerjaya yang penuh kompetetif ini, jaringan PAUSM sepatutnya menjadi aset yang bernilai buat kita.
Justeru, saya menyeru setiap Alumni USM samada yang sedang berada dalam atau luar negara menggunakan platform FB rasmi PAUSM untuk saling berhubung dan berkongsi berita. Dari titik tersebut nanti kita aksn susul dengan siri-siri program seperti perkongsian kepakaran, kerjasama perniagaan atau memperluaskan jaringan sosial.
Saya juga mengucapkan Tahniah kepada para graduan yang akan berijazah dalam upacara Konvokesyen USM yang akan bermula pada 13 hingga 21 Disember 2021 nanti. Walaupun upacara dan sambutan agak sedikit berbeza ekoran ketetapan S.O.P sewaktu pandemik Covid-19, namun ianya tidak sedikit pun mengurangi makna kejayaan saudara dan saudari. Kepada Saudara dan Saudari para graduan, kami ada menyediakan sebuah platform susulan agar PAUSM dapat sama-sama membantu perjalanan hidup anda pada fasa pasca -graduasi. Suasana pasca pandemik ysng mencabar ini memerlukan kita untuk saling bantu membantu khususnya dalam usaha membina dan memulakan kerjaya. Saya yakin para alumni USM khususnya yang telah membina kerjaya dan berjaya dalam bidang masing-masing sentiasa bersedia membantu dan membimbing para graduan kita untuk satu tahap yang lebih baik.
Akhir kata, saya juga mengucapkan selamat bertugas dan selamat majujaya buat rakan-rakan pimpinan Jawatankuasa Eksekutif Alumni PAUSM yang sudi sama-sama mengambil cabaran dan berkhidmat bagi penggal 2021/2023. Kami datang daripada pelbagai bidang dan tahun pengajian. InshaAllah kami akan menggabungkan segala pengalaman, kepakaran serta semangat kami demi kelangsungan PAUSM. Mohon berilah sokongan dan kerjasama anda kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Eksekutif yang terpilih dan dilantik pada kali ini. Ucapan terima kasih jua buat barisan kepimpinan yang terdahulu yang diketuai oleh Tuan Haji Mohd Aziz Ismaon yang telah meletakkan nama PAUSM pada tahap tersendiri.
Salam hormat,
Dr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee
Presiden PAUSM
2021-2023
|
|
|
|